
TAWAU, 23 Mei 2025 : UMNO Bahagian Kalabakan meneruskan usaha memperkukuh jentera parti di peringkat akar umbi melalui sesi silaturahim dan mesyuarat strategik bersama kepimpinan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Batu yang diadakan secara tertutup baru-baru ini.
Majlis tersebut dipengerusikan oleh Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Haji Samasuddin Yusop, dan turut dihadiri Ketua PDM Tanjung Batu, Roslan Jumadi serta barisan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian.
Menurut Haji Samasuddin, sesi tersebut bertujuan menyelaras gerak kerja jentera dan memperincikan strategi dalam usaha memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu kekal bersama Barisan Nasional (BN).
“DUN Tanjung Batu bukan sekadar kawasan untuk dimenangi, ia merupakan legasi BN yang perlu dipertahankan. Komitmen pemimpin cawangan amat membanggakan dan keyakinan rakyat semakin meningkat,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa semangat kesatuan dan kesetiaan dalam kalangan ahli UMNO menjadi asas kukuh untuk mencapai kemenangan.
“Dengan kesatuan yang ada, saya yakin kemenangan akan menjadi milik kita, insya-Allah,” tambah beliau.
Samasuddin juga menzahirkan penghargaan kepada semua ahli dan pemimpin akar umbi yang terus setia bersama perjuangan parti meskipun menghadapi pelbagai cabaran politik.
UMNO Kalabakan, katanya, komited untuk bekerja keras dalam memastikan sokongan rakyat kekal bersama BN menjelang sebarang kemungkinan pilihan raya akan datang.
“Kita usaha bersama, kita berjaya bersama. Ini amanah bersama demi masa depan Tanjung Batu dan generasi akan datang,” katanya lagi.
Program ini turut menjadi platform penting untuk membincangkan isu-isu semasa di peringkat tempatan serta mengukuhkan komunikasi antara kepimpinan bahagian dan cawangan.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah