
KOTA KINABALU: Perbalahan mengenai agihan kerusi dalam kalangan parti yang berhasrat membentuk pakatan dijangka menyebabkan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah bakal menjadi pertandingan terbuka untuk semua.
Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai, berkata perkara itu tidak mustahil jika parti atau gabungan parti yang ingin membentuk kerjasama politik gagal mencapai kata sepakat berhubung agihan kerusi.
Atas sebab itu, katanya GRS bersiap sedia terhadap kemungkinan situasi berkenaan termasuk bertanding solo pada PRN17 nanti seperti yang dinyatakan pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini.
“Hajiji sebelum ini mengatakan bahawa GRS bersedia bergerak sendiri selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju membentuk kerjasama PRN17 yang mana ramai menyifatkannya sebagai satu penghinaan yang disengajakan terhadap GRS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu berkata pertandingan terbuka untuk semua itu boleh menjadi satu rahmat, kerana senario sebegitu akan membolehkan rakyat Sabah memilih antara gabungan parti tempatan dan parti dari Semenanjung.
“Rakyat Sabah boleh menjadikan pilihan raya yang akan datang ini sebagai satu referandum untuk memilih antara GRS yang berasaskan parti tempatan, UMNO-BN, PH dan Parti Warisan.
“Ini akan menjadi satu ujian yang jelas sama ada kita mahu dipimpin oleh pemimpin parti tempatan atau parti yang ibu pejabatnnya berada di Kuala Lumpur,” katanya.
Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata GRS sudah membuktikan bahawa gabungan parti tempatan berkeupayaan menyampaikan pembangunan yang bermakna sambil mengekalkan kerjasama yang rapat dengan kerajaan Persekutuan.
SumbeR: BH Online
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah