
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mematahkan dua cubaan rentas sempadan dari Filipina di perairan timur laut Pulau Berhala, di sini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata dalam kejadian pertama jam 11.49 pagi, sebuah vesel mencurigakan dikesan kira-kira satu batu nautika dari Timur Laut Pulau Berhala dipercayai keluar dari Pulau Taganak di Filipina menuju perairan Malaysia.
Pemeriksaan mendapati vesel berdaftar di bawah lesen kargo itu membawa 14 individu termasuk seorang tekong, terdiri 12 lelaki dan tiga wanita berusia antara lapan hingga 70 tahun.
“Majoriti penumpang bukan warganegara dan tidak memiliki dokumen pengenalan sah.
“Seorang penumpang cuba menyogok pegawai penguat kuasa dengan wang tunai, namun cubaan itu gagal dan wang tersebut dirampas sebagai bahan bukti,” katanya melalui kenyataan.
Vesel dan penumpang ditahan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Satbah 2002, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Dalam operasi berasingan hari sama kira-kira jam 12 tengah hari, sebuah lagi vesel tanpa nombor pendaftaran dipintas kira-kira 4.3 batu nautika dari Pulau Berhala.
Suhair berkata, pemeriksaan mendapati bot dikendalikan tekong warga Filipina hanya memiliki MyKas, bersama dua awak-awak warga asing dan seorang warga tempatan.
“Pemeriksaan menemui 12 tong berisi petrol dianggarkan 300 liter, selain 700 liter lagi disimpan dalam tangki utama bot bagi menggerakkan tiga enjin luar 250 kuasa kuda.
“Bahan api dipercayai digunakan untuk perjalanan ulang alik antara Malaysia dan Filipina,” katanya.
Antara kesalahan dikesan termasuk bot tidak berdaftar dan tidak dilesenkan (Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002) serta membawa petrol tanpa permit sah (Akta Kawalan Bekalan 1961).
“Bot terbabit dipercayai terbabit aktiviti rentas sempadan secara senyap. Semua suspek serta vesel dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah