Hajiji Perlu Kawal Jeffrey Kitingan Untuk Kekal Hubungan Dengan Putrajaya

Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor perlu mengawal timbalannya, Jeffrey Kitingan, bagi mengelakkan hubungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Putrajaya yang kini seimbang menjadi rapuh menjelang PRN.

Pada Isnin, Kitingan yang juga timbalan pengerusi GRS mengkritik Presiden Umno Zahid Hamidi dan memintanya tidak mempersoalkan aspirasi rakyat Sabah.

Mungkin, beliau sepatutnya memilih kata-kata dengan lebih berhati-hati kerana Zahid sebenarnya hanya cuba meredakan pihak memainkan sentimen ‘Sabah for Sabahan’ semata-mata untuk menghalang parti nasional daripada bertanding di kerusi DUN Sabah.

Ketegangan di Kota Kinabalu semakin memuncak sejak Jumaat lalu, selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan kesepakatan untuk menghadapi PRN. Pemimpin GRS kelihatan seolah-olah tidak bersedia dengan pengumuman itu.

Gabungan itu secara terbuka berusaha membentuk pakatan dengan PH dalam beberapa bulan kebelakangan ini, namun berterusan berselisih dengan BN susulan keretakan hubungan akibat tindakan Ketua BN Sabah Bung Moktar Radin cuba menjatuhkan kerajaan negeri, dua tahun lalu.

Hajiji kemudian mengumumkan GRS sedia bertanding secara solo dalam pilihan raya itu.

Namun, Pengerusi PH Anwar Ibrahim dalam satu sidang media di Tawau pada Ahad menyatakan beliau berminat untuk GRS turut serta dalam pakatan PH-BN.

Pakatan GRS-BN-PH dilihat masuk akal kerana mencerminkan kerjasama yang sudah wujud di peringkat persekutuan.

Ia pastinya menjadi satu gabungan kuat dalam PRN, kecuali satu isu yang berpotensi menggugat — kehadiran Bung dan mereka yang sehaluan dengannya dalam gabungan itu.

Oleh itu, kenyataan Kitingan dari segi masa, nada dan serangan terhadap Zahid, dilihat sebagai tidak wajar.

Beberapa kenyataan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu juga membimbangkan. Adun Tambunan itu seolah-olah menyatakan kehendak politik rakyat Sabah merangkumi usaha untuk membentuk ‘haluan baharu sepenuhnya’ di luar persekutuan Malaysia.

Beliau turut mencadangkan langkah itu hampir berlaku, bergantung kepada ‘bagaimana Sabah dilayan pada masa akan datang’.

Adakah Kitingan cuba memberi gambaran bahawa Sabah berada di ambang penentuan nasib sendiri dan bercadang keluar dari Malaysia dan membentuk negara sendiri? Itu satu kenyataan yang terlalu melampau.

Tiada yang salah dengan sentimen ‘Sabah for Sabahan’, selagi diamalkan dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan — sesuatu yang telah diberi perhatian oleh Hajiji sepanjang dua setengah tahun kebelakangan ini.

Ini termasuk usaha untuk mendapatkan lebih banyak autonomi dalam pentadbiran negeri, tahap kebebasan ekonomi dan hak yang sewajarnya bawah Perjanjian Malaysia 1963 — namun tetap sedar kedudukan dan peranan Sabah dalam persekutuan.

Tambahan pula, sebagai ketua parti yang hanya mempunyai enam orang wakil dalam DUN Sabah yang mempunyai 79 kerusi, adakah Kitingan boleh mendakwa mewakili kehendak semua rakyat Sabah? Sudah tentu tidak.

Pertelingkahan Kitingan dengan Anwar juga banyak direkodkan sebelum ini.

Adalah lebih baik jika beliau menyelaraskan pandangannya dengan Hajiji, agar tidak menjadi ‘Bung’ dalam GRS yang menghalang terbentuknya pakatan dengan PH-BN.

SumbeR: FMT

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *