Reda Isteri & Anak Maut Ditimpa Tanah Runtuh

Zul Azmil (gambar kecil) reda dengan kematian isteri serta anaknya.

KOTA KINABALU: Seorang pekerja pusat binaan di sini, reda dengan takdir menimpa bayi dan isterinya yang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Forest Hill, Jalan Bundusan, di sini, hari ini.

Zul Azmil Omar, 34, berkata, walaupun kehilangan dua insan tersayang itu, dia tetap masih bersyukur kerana seorang lagi anaknya terselamat dalam kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana mengikuti rakan untuk membuat kerja di tapak binaan lain.

“Hari ini saya dibawa seorang rakan yang meminta pertolongan untuk membuat kerja di luar. Selepas itu, saya meminta izin isteri untuk keluar dan memesan kepadanya untuk menghubungi saya sekiranya ada kekurangan.

“Namun isteri yang sedang mengandung, menyuruh saya pergi membantu rakan selain memberitahu tiada sebarang kekurangan di rumah kami,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagaimanapun, Zul Azmil berkata, sekitar 3.30 petang, ketika melakukan kerja dia dihubungi rakan memintanya supaya segera pulang ke rumah.

Katanya, rakannya memberitahu rumah mereka di tapak binaan itu ranah ditimpa tanah runtuh dan keluarganya turut terbabit dalam kejadian itu.

“Saya terus balik, tetapi perjalanan memakan masa lama disebabkan berlakunya banjir di beberapa lokasi.

“Sebaik sampai, saya terus bertanyakan kepada salah seorang sepupu di mana lokasi anak dan isteri.

“Saya dimaklumkan hanya seorang anak selamat manakala isteri dan bayi sudah meninggal dunia,” katanya.

Dalam kejadian 3 petang itu, tiga maut manakala tiga lagi mangsa terselamat.

Antara yang meninggal dunia adalah bayi berusia 8 bulan dikenali sebagai Dayana Zul Azmil, ibunya Salmah Hamid, 25, dan kanak-kanak perempuan Rosatima Asbirin, 5 tahun.

Manakala tiga lagi terselamat adalah Risdah Jabin, 22, bersama dua lagi kanak-kanak yang dikenali sebagai Norsirah Asbirin berusia tiga tahun serta Juliana Zul Azmil, berusia lebih setahun. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *