‘Lebih Baik Lambat, Asal Selamat’

Dr Maximus Ongkili

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyifatkan keputusan pembangkang menyertai kerjasama dengan kerajaan lewat tiga minggu sebagai ‘lebih baik lambat, asal selamat’.

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), berkata pada dasarnya keputusan kerjasama dwipartisan berakhir sejak ia dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiga minggu lalu.

“Sebagai Presiden PBS, saya juga turut terbabit dalam usaha menghulurkan jemputan kepada Ahli Parlimen DAP dan PKR Sabah selain Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk menyertai kerjasama transformasi ini, tetapi mereka menolak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Maximus turut mengalu-alukan kesediaan Pakatan Harapan (PH) untuk menerima prinsip dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) terutama berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), undang-undang lompat parti, mengurangkan had tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun, dan mengurangkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“Walau bagaimanapun, dalam hal ini, PBS tidak menyokong penuh pendaftaran automatik pengundi sehingga daftar pemilih di Sabah dibersihkan daripada Pendatang Tanpa Izin (PATI).

“Kami sedia bekerjasama dengan PH, terutama isu berkaitan MA63 yang tidak disentuh pihak PH ketika mereka berkuasa, contohnya seperti isu PATI di Sabah, pemberian dokumen secara meragukan yang tidak dapat diselesaikan, status warga asing yang memegang sijil IMM13, Kad Burung-Burung, dan Sijil Bancian, serta isu kemiskinan dan jurang perbezaan pendapatan ketara di Sabah, terutama di luar bandar,” katanya.

Beliau juga turut menyatakan pendirian PBS berbeza daripada pembangkang dari segi idea, perjuangan politik dan konsep berbilang kaum.

Isnin lalu, Kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah julung kali memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU dimeterai di Bangunan Parlimen di ibu negara itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa PEMANDU. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *