Balai Polis Penampang Dinaiki Air Sampai Paras Betis, Netizen Doakan Anggota PDRM Dilindungi Allah

KOTA KINABALU: Hujan lebat sejak tengah hari tadi mengakibatkan beberapa kawasan di negeri Sabah dinaiki air dan dilanda banjir kilat.

Susulan bencana banjir yang melanda beberapa daerah di Sabah, antara yang terjejas termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Dalam sebuah hantaran di laman Facebook Polis Daerah Penampang, admin laman Facebook tersebut menunjukkan keadaan terkini di IPD Penampang setakat 8 malam tadi.

Dapat dilihat beberapa anggota polis sedang duduk di ruangan balai dalam keadaan air yang ketika itu separas betis.

Turut dimuatnaik, beberapa gambar dipercayai anggota, sedang mengangkat timbunan fail ke tempat selamat. Beberapa perabot di ruangan pejabat dilihat tersusun bertindan untuk mengelak terkena air banjir.

Di akhir hantaran, admin laman Facebook tersebut berharap agar keadaan kembali seperti sedia kala dan masyarakat khususnya di daerah Penampang dan Putatan dijauhkan dari sebarang musibah.

Hujan lebat dan ribut petir yang melanda negeri Sabah sejak tengah hari tadi turut mengakibatkan tanah runtuh di Segumau Madsiang, Jalan Penampang-Tambunan dan difahamkan beberapa rumah dan kenderaan terjejas akibat tanah runtuh itu.

Sumber: Polis Daerah Penampang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *