Kastam Sabah Rampas Dadah Lebih RM400,000 Di KKIA

KOTA KINABALU : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 8.66 kilogram (kg) dadah jenis ketamin dan methamphetamine bernilai RM404,375 hasil pemeriksaan imej imbasan di Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini pada 29 Ogos lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Abdullah Jaapar dalam kenyataan hari ini berkata ekoran rampasan yang berlaku pada pukul 7 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Anggota keselamatan dari MasKargo mendapati hasil imej imbasan yang mencurigakan ke atas 16 kotak polisterin berisi ikan sejuk beku. Imej imbasan itu menunjukkan terdapat satu imej lapisan di bawah ikan tersebut,” kata kenyataan itu.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan bungkusan plastik lut sinar berisi lebih 5.43kg dadah jenis ketamin dengan nilai RM287,843 dan lebih 3.23kg methamphetamine bernilai RM116,532.

Katanya modus operandi kegiatan itu adalah mengisi bahan disyaki dadah terlarang ke dalam plastik lut sinar sebelum disembunyikan ke dalam ruangan tersembunyi di dalam kotak polisterin ikan sejuk beku bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. JKDM menyeru orang awam agar bekerjasama melaporkan penyeludupan dadah dengan menghubungi talian 1-800-88-8855 atau pejabat kastam negeri dengan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *