Paralimpik Tokyo: Ziyad Menang Pingat Emas, Pecah Rekod Dunia

Muhammad Ziyad Zolkefli turut memecahkan rekod sendiri dicipta pada temasya Paralimpik di London 2017.

KUALA LUMPUR: Muhammad Ziyad Zolkefli membuktikan kehadirannya di bumi Tokyo bukan ‘biasa-biasa’ apabila berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi lima tahun lalu di Rio pada Paralimpik Tokyo kali ini.

Lebih manis, Ziyad melakukannya dengan penuh bergaya apabila memecahkan rekod dunia selepas melakukan lontaran 17.94 meter (m) sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Balingan emas itu dilakukan Ziyad pada percubaan ketiga namun percubaan keempat 17.62 juga tidak mampu ditandingi peserta lain pada aksi yang berlangsung di Stadium Olimpik itu.

Ziyad juga sebenarnya sudah memecahkan rekod dunia miliknya seawal balingan pertama lagi dengan 17.31m.

Kejayaan itu pastinya memberi kepuasan kepada Ziyad yang selepas dapat menewaskan peserta dari Ukraine, Maksym Koval yang sekadar berpuas hati dengan pingat perak apabila melakukan balingan 17.34m pada percubaan ketiga.

Koval mencetuskan resah kepada Ziyad sebelum ini apabila berjaya meraih emas di Kejohanan Olahraga Para Dunia yang berlangsung di Dubai pada 2019 dengan catatan 17.11m manakala Ziyad ketika itu berada di tempat kedua, 17.03m.

Gangsa milik rakan sepasukan Koval, Oleksandr Yarovyi yang melakukan balingan terbaik 17.30 pada percubaan ketiga sekali gus catatan peribadi terbaik untuknya.

Emas yang diraih Ziyad itu juga pastinya cukup bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia hari ini sempena menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *