92% Daerah Di Sabah Kini Zon Merah

KOTA KINABALU: Sebanyak 25 atau lebih 92 peratus daripada 27 daerah di Sabah berada dalam zon merah, manakala baki dua daerah lagi dalam zon jingga berbanding tiga daerah dalam zon jingga yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata dua daerah kekal dalam zon jingga hari ini ialah Tambunan dan Nabawan, masing-masing mencatat dua kes baharu.

Katanya, daripada 25 daerah zon merah, Kota Kinabalu mencatat kes jangkitan paling tinggi iaitu sebanyak 239 kes hari ini, diikuti Tawau (137), Tuaran (114) dan Penampang (106).

“Sebanyak 16 daerah pula mencatat kes dua angka bermula dari 12 kes hingga 65 kes, manakala lima daerah dalam zon merah mencatat kes satu angka iaitu antara tiga hingga sembilan kes hari ini,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Secara keseluruhan, Sabah mencatat 1,062 kes baharu positif COVID-19 hari ini dengan sembilan kematian iaitu empat kes di Kota Kinabalu, dua kes di Sipitang dan masing-masing satu kes di Tawau, Sandakan dan Kudat.

Bagi kes sembuh, Masidi berkata seramai 622 pesakit dibenarkan keluar hospital hari ini, manakala seramai 4,460 masih dirawat termasuk 122 dalam Ujit Rawatan Rapi (ICU) dengan 54 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Tiada kluster baharu direkodkan hari ini, manakala penggunaan katil hospital ialah 67.17 peratus daripada sebanyak 6,628 unit katil yang disediakan untuk pesakit COVID-19 di seluruh negeri,” katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata sebanyak 156 lokaliti atau kawasan di seluruh Sabah masih diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) aktif sehingga hari ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *