Lelaki Mengamuk Kerana Tidak Diberikan Wang

Lelaki berkenaan ketika ditahan pihak polis.

BEAUFORT: Seorang lelaki mengamuk selepas permintaan untuk mendapatkan wang tidak dipenuhi neneknya dalam kejadian di Kampung Kerukan, Kuala Penyu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun terbabit turut dikatakan menjerit mahu membunuh orang sehingga menakutkan neneknya.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, suspek tinggal bersama neneknya yang berusia 71 tahun.

Katanya, suspek yang mengamuk sambil memegang sebilah parang itu dikatakan hilang kawalan hanya kerana tidak diberikan wang.

“Siasatan juga mendapati sebelum ini, suspek pernah mengamuk sehingga menetak dinding rumah dan tangga atas alasan sama iaitu tidak diberikan wang. Suspek juga dikatakan mahu membunuh orang.

“Polis bertindak menahannya selepas menerima laporan daripada nenek suspek, di Balai Polis Kuala Penyu, pada jam 12.26 tengah hari, semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort ke lokasi kejadian.

“Suspek diberkas Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beaufort dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah,” tegasnya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *