Jika ‘Imam’ Salah Perlu Diganti, Segerakan Perubahan – Shafie Apdal

Mohd Shafie Apdal turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin Yassin yang terus mengelak untuk mengadakan undi percaya di Parlimen walaupun didesak berkali-kali oleh sebahagian besar Ahli Parlimen.

KUALA LUMPUR: Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal berkata perubahan terhadap jawatan nombor satu dalam pentadbiran negara perlu disegerakan kerana jika berlengah, ia dikhuatiri akan menyebabkan lebih ramai nyawa terkorban.

Menyifatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai “imam” yang mempunyai banyak kelompongan, Shafie berkata jika Presiden Bersatu itu terus diberi peluang dan ruang, negara bukan saja terpalit dengan krisis kesihatan awam terburuk, malah membawa Malaysia ke kancah krisis ekonomi paling teruk dengan hutang lebih RM1 trilion pada masa ini.

“Kadar kematian meningkat, kadar pengangguran meningkat, nak bagi waktu lagi untuk mereka memerintah? Enam bulan, satu tahun? Tiap-tiap hari rakyat Malaysia mati beratus orang. Adakah ini kerajaan yang betul untuk tadbir negara? Makin lama kita bagi mereka masa, makin ramai rakyat akan mati. Akan lebih banyak krisis ekonomi yang kita perlu tempuh.

“Saya bimbang kadangkala orang cakap kenapa kita perlu tukar kerajaan? Kalau dah salah, salah lah… umpama manusia, kalau imam dia kita dah tegur bacaannya, rukunnya tak sempurna, perlu diganti. Takkan kita nak minta dia teruskan, sedangkan yang makmum lagi bagus. Baik lagi ganti (dengan) makmum itu,” katanya dalam satu temu bual khas bersama Malaysiapost.

Ahli Parlimen Semporna itu turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang terus mengelak untuk mengadakan undi percaya di Parlimen walaupun didesak berkali-kali oleh sebahagian besar Ahli Parlimen.

“Agong dah titahkan supaya ada perbahasan, ada undian, mengapa tak boleh? Nak takut undi? Bukan kita tidak boleh bagi undi, kalau berpatutan, kita sokonglah tetapi masalahnya, dia (Muhyiddin) takut sebab dia tahu dia tak cukup sokongan,” katanya.

Malah, beliau turut menyatakan kekesalan terhadap pentadbiran yang ditunjangi Bersatu kerana gagal menyelesaikan krisis ekonomi dan kesihatan awam walaupun pelbagai pakej rangsangan ekonomi diumumkan membabitkan perbelanjaan ratusan bilion ringgit.

“Adakah perjalanan ini selari dengan apa yang kita mahukan? Kita boleh kata, janganlah ganggu pemerintah… sokonglah mereka. Ya, kita boleh bagi sokongan tetapi dah satu tahun lebih mereka memerintah, gunakan duit yang banyak, buat Ordinan Darurat malah kerajaan negara luar beri lagi bantuan vaksin tetapi tetap gagal,” katanya yang berpendapat penubuhan “kerajaan perpaduan” perlu dipertimbang dengan serius oleh semua parti politik.

“Dah sampai waktunya rejim yang ada pada hari ini beralih, harus ada perubahan, bukan untuk keburukan. Kita perlu ada kesatuan dan perpaduan dalam kalangan 220 Ahli Parlimen. Hala tuju negara bergantung kepada mereka ini, tak perlu adakan PRU,” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa semua parti politik mengenepikan agenda politik masing-masing dalam menentukan siapa calon perdana menteri mereka tetapi bersatu dalam menentukan hala tuju negara untuk keluar daripada pandemik Covid-19.

“Kalau kita tak berfikir sebaik mungkin untuk ambil langkah bagaimana tentukan hala tuju negara kita, yang kita fikir hanya siapa nak jadi Perdana Menteri, siapa nak jadi Menteri saya fikir negara kita akan berada dalam keadaan cukup membimbangkan,” tegasnya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *