GRS Beri Jaminan Kerajaan Sabah Terus Utuh – Hajiji

Pengerusi GRS Hajiji Noor berharap ‘kekacauan politik’ di Kuala Lumpur diselesaikan untuk kembali fokus menguruskan wabak, kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.

KOTA KINABALU, 3 Ogos : Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi jaminan kerajaan Sabah akan terus utuh dengan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama sekali gus mendukung mandat diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 pada September tahun lepas.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata beliau telah berkomunikasi dengan semua pemimpin parti komponen GRS berkaitan perkembangan politik terkini di Kuala Lumpur.

“Kami sependapat dan sebulat suara bersetuju bahawa kerjasama dalam kerajaan negeri yang memerintah hari ini akan berterusan. Kami akan terus mendokong mandat diberikan kepada kami dalam pilihan raya negeri lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Menteri berkata semua pemimpin GRS juga sepakat untuk mengambil apa jua langkah perlu untuk memantapkan seterusnya memperkuatkan lagi kerajaan GRS.

“Saya berdoa kemelut politik di Kuala Lumpur dapat diselesaikan dengan segera secara baik dan saksama agar kita dapat menumpukan perhatian dalam usaha menangani ancaman pandemik COVID-19, pemulihan ekonomi dan kestabilan politik,” katanya.

GRS adalah gabungan parti dalam Perikatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS), Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan Parti Bersatu Sabah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *