DUN Sabah Bersidang Tiga Hari Bermula 24 Ogos

KOTA KINABALU, 3 Ogos : Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 akan bersidang selama tiga hari bermula 24 Ogos ini.

Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya berkata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dijadual menyempurnakan istiadat pembukaan persidangan itu yang akan berlangsung pada 10 pagi, 24 Ogos, tanpa acara perbarisan.

Kadzim berkata persidangan DUN Sabah ke-16 pada 25 dan 26 Ogos pula akan dimulai dengan sesi soal jawab pada 10 pagi, diikuti sesi perbahasan ucapan dasar Tun Juhar oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan sesi penggulungan sehingga selesai.

“Tuan Yang Terutama (Tun Juhar) sudah memperkenankan untuk memanggil mesyuarat sidang DUN pada 24 hingga 26 Ogos ini. Sidang DUN ini akan diadakan secara fizikal dan melibatkan kehadiran semua ADUN,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kadzim berkata sidang DUN itu akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk penjarakan sosial, selain setiap tempat duduk ADUN di dalam Dewan dilengkapi penghadang lut sinar bagi mengekang penularan COVID-19.

Seperti sebelum ini, Kadzim berkata istiadat pembukaan dan persidangan DUN Sabah boleh diikuti secara langsung menerusi saluran YouTube kerajaan negeri. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *