Tahanan Keempat Lari Dari Pusat Kuarantin Berjaya Diberkas

Tahan keempat yang berjaya ditahan polis hari ini selepas melarikan diri dari pusat kuarantin Covid-19 dekat Penampang. – Foto IPD Penampang

PENAMPANG: Selepas 36 jam melarikan diri, tahanan yang lari dari pusat kuarantin Covid-19 di Pusat Kuarantin Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) ditahan semula di Kilometer 3, Jalan Papar Spur di Papar hari ini.

Tahanan itu ditahan pada 2.20 petang hasil maklumat yang diterima polis daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi memburu suspek dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Menurutnya, pihaknya menjalankan operasi memburu tahanan itu sejurus menerima maklumat orang awam mengenainya.

“Kejayaan tangkapan terakhir ini berjaya menyelesaikan kes tahanan melarikan diri selepas dilaporkan berlaku pada 3.30 pagi semalam.

“Oleh yang demikian, IPD Penampang mengucapkan jutaan terima kasih kepada masyarakat yang membantu menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya tahan terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Haris berkata, keempat tahan yang berjaya ditahan semula akan diambil tindakan pendakwaan mengikut peruntukkan undang-undang.

Sehubungan itu, Mohd Haris turut menasihati orang ramai yang mempunyai kontak rapat atau pernah bertemu dengan keempat tahanan berkenaan supaya membuat ujian calitan Covid-19.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *