Polis Sekat Jalan Menuju Parlimen

Kenderaan di jalan masuk ke Parlimen disekat polis pagi ini.

KUALA LUMPUR: Polis menyekat jalan menuju ke bangunan Parlimen pagi ini, di mana Ahli Parlimen pembangkang dijangka membuat protes membantah penangguhan dua minggu sidang khas Dewan Rakyat.

Pihak media dimaklumkan semalam bahawa Ahli Parlimen pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, akan mengadakan sidang media di sana pada 9.30 pagi.

Bagaimanapun, laluan masuk ke bangunan Parlimen dihalang polis seawal 8.40 pagi, dengan kenderaan dari Lebuhraya Sultan Iskandar diarah berpatah balik.

Seorang pegawai memberitahu FMT, jalan-jalan itu disekat “untuk semua”, dengan seorang Ahli Parlimen mengesahkan mereka juga tidak dibenarkan melepasi sekatan polis.

Menurut Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii, pihak polis meminta mereka yang hadir untuk bersurai atau tindakan akan diambil.

“Jadi kami kini berkumpul di Dataran Merdeka,” kata Yii, sambil menyertakan tanda pagar #lawan dalam catatannya di Twitter.

Terdahulu, sidang khas Dewan Rakyat pada 29 Julai ditangguhkan hingga hari ini susulan dimaklumkan terdapat empat kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen.

Bagaimanapun, Sabtu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membuat keputusan untuk menangguhkan sidang hari ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak, kata Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat.

Katanya, penangguhan itu adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan perkembangan terbaru penularan jangkitan Covid-19.

Semalam, KKM menyarankan supaya sidang Parlimen digantung selama dua minggu bermula 29 Julai bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 di bangunan berkenaan.

Noor Hisham berkata, ia melibatkan semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *