Penduduk Kampung Balat, Kinabatangan Kini Nikmati Bekalan Elektrik 24 Jam

Bung Moktar

KINABATANGAN, 2 Ogos : Lebih 400 penduduk di Kampung Balat dekat sini kini menikmati kemudahan bekalan elektrik selama 24 jam sejak seminggu lepas menerusi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata projek itu mula dilaksanakan pada 2013, namun menghadapi pelbagai kekangan sebelum dapat disiapkan sepenuhnya, antaranya masalah penyusunan semula kampung dan pendawaian.

Suasana malam bercahaya di kampung Balat Kinabatangan setelah bekalan elektrik mula disalurkan ke kampung itu.

“Sebelum ini, penduduk kampung terpaksa bergantung kepada penggunaan enjin jana kuasa elektrik atau pelita.

“Penyaluran bekalan elektrik selama 24 jam bukan sahaja memberikan kemudahan yang selesa kepada penduduk, tetapi membolehkan penduduk menjana sumber pendapatan melalui pelbagai aktiviti perniagaan yang mereka usahakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Lamag Abu Bakar Gapar berkata sebanyak 76 rumah mendapat kemudahan bekalan elektrik itu melibatkan 33 rumah di penempatan Program Mini Estet Sejahtera dan selebihnya sebanyak 43 rumah di perkampungan yang disusun semula.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Kampung Balat Sharin Abdul Rauf pula berkata bekalan yang disalurkan selama 24 jam itu memberi nafas baharu kepada penduduk kampung itu, terutama penduduk yang tidak berkemampuan untuk membeli enjin jana kuasa elektrik sebelum ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *