Kontak Rapat Terus Jadi Penyumbang Tertinggi Kes Harian Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Saringan kontak rapat terus menjadi penyumbang tertinggi jumlah kes harian positif COVID-19 di Sabah iaitu 591 kes atau 59 peratus daripada keseluruhan 1,002 kes harian hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata antaranya, di Daerah Tawau 70 peratus daripada 171 kes baharu COVID-19 yang dikesan merupakan saringan kontak rapat, diikuti Penampang (67 peratus daripada 100 kes), Kota Kinabalu ( 63 peratus daripada 171 kes ) dan Sipitang (62 peratus daripada 90 kes).

“Data ini menunjukkan ruang atau kawasan penyebaran jangkitan virus COVID-19 semakin meluas dalam komuniti. Andaian ini diperkukuhkan lagi dengan jumlah peratusan tinggi iaitu 18.36 peratus (184 kes) kategori bergejala. Kes melibatkan kluster sekadar 13.27 peratus (133 kes) dan saringan bersasar 5.49 peratus (55 kes).

Justeru, Kementerian Kesihatan amat menganjurkan pematuhan secara menyeluruh prosedur operasi standard bagi mengelak diri dijangkiti COVID-19. Disiplin diri adalah komponen penjagaan kesihatan  amat penting selain daripada keperluan mendapatkan vaksinasi lengkap,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata ketidakpatuhan SOP turut memberi kesan kepada individu yang telah menerima suntikan vaksin untuk dijangkiti dan ini dapat dilihat apabila seramai 181 daripada jumlah kes harian hari ini adalah mereka yang sudah lengkap divaksin.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah merekodkan dua kluster baharu COVID-19 hari ini iaitu Kluster Tembidong Bidong membabitkan Telupid serta Beluran, dan satu lagi Kluster Jalan Patikang Ulu di Keningau.

Kluster Tembidong Bidong disyaki berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung semasa sambutan Aidiladha dengan sebanyak 88 kes positif, manakala Kluster Patikang Ulu (17 kes) melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja, dan siasatan serta kawalan kedua-dua kluster masih diteruskan, katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *