Polis Temui Pakaian Dipakai 4 Suspek Positif Covid-19 Lari Dari Lokap

Dua seluar lokap dipercayai dipakai suspek yang melarikan dari pusat kuarantin pesakit Covid-19 di Penampang ditemui oleh orang awam di Kampung Bambangan, Inanam.

PENAMPANG: Polis menemui dua seluar lokap dipakai suspek yang melarikan dari pusat kuarantin pesakit Covid-19, di Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN), di sini, pagi tadi.

Seluar terbabit ditemui kira-kira jam 10 pagi oleh penduduk di Kampung Bambangan, Inanam, di sini, sebelum melaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Penampang Mohd Haris Ibrahim berkata, berdasarkan laporan diterima sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, keempat-empat suspek terbabit dipercayai menukar pakaian biasa bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Dua seluar lokap dipercayai dipakai tahanan yang melarikan diri pagi tadi, ditemui di kawasan Kampung Bambangan, Inanam.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memastikan semua suspek dapat ditahan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi tadi, keempat-empat suspek yang disahkan positif Covid-19 dikesan melarikan diri dari ILMAN.

Empat tahanan yang melarikan diri membabitkan tiga warga asing dan seorang warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 27 tahun.

Semua suspek ditahan polis untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323/379 akta yang sama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung semua suspek diminta segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ditalian 088-723961 atau mana-mana balai polis berhampiran. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *