Darurat Di Sarawak Dilanjut Hingga Februari 2022

KUALA LUMPUR : Sarawak akan terus berada dalam keadaan darurat hingga 2 Feb tahun depan.
Menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan malam tadi, kerajaan menjelaskan lanjutan itu dibuat “untuk menghalang daripada terus merebaknya wabak Covid-19 jika pilihan raya diadakan”.

Darurat yang sedang berlangsung, meliputi Semenanjung dan Malaysia Timur, akan berakhir esok.

“…pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dikehendaki untuk diadakan dalam enam puluh hari dari 2 Ogos 2021 mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak,” menurut warta itu.

Pilihan raya negeri (PRN) sepatutnya diadakan pada 6 Jun tetapi ditangguhkan kerana darurat, dan Ketua Menteri Abang Johari Openg sebelum ini berkata, ia boleh ditangguhkan sehingga situasi Covid-19 bertambah baik.

Pada 6 Jun, Speaker DUN Sarawak Mohd Asfia Awang Nassar berkata dalam kenyataan, DUN tidak akan dibubarkan, malah akan meneruskan penggalnya hingga darurat berakhir pada 1 Ogos 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan mengumumkan di Dewan Rakyat pada 26 Julai bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan meminta darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Tiga pilihan raya kecil (PRK) – dua kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN – juga ditunda sejak akhir tahun lalu setelah kerajaan mengisytiharkan darurat di kawasan-kawasan terbabit.

Pada 18 Nov tahun lalu, Batu Sapi di Sabah diletakkan bawah darurat untuk mengelakkan PRK susulan kematian Ahli Parlimennya, Liew Vui Keong daripada Warisan, yang juga bekas menteri undang-undang bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Pada 16 Dis, darurat diisytiharkan bagi kawasan Parlimen Gerik di Perak dan DUN Bugaya di Sabah, berikutan kematian wakil rakyatnya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *