Misteri Lelaki Tua Bertongkat Terjawab

Lelaki yang masuk ke perkarangan rumah penduduk di Taman Cengal yang tular di laman sosial.  – Foto Facebook

SUNGAI PETANI: Polis mengesahkan lelaki yang masuk ke perkarangan sebuah rumah di Taman Cengal, di sini, seperti yang tular di laman sosial sejak semalam didapati kurang waras.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki itu tidak tahu apa yang dibuat di situ malah turut berbogel di hadapan pasukan polis.

Beliau berkata, isteri lelaki itu turut bersama ketika kejadian.

“Lelaki itu juga mengalami masalah buah pinggang dan ada tiub di perutnya.

“Bagaimanapun tiada tindakan diambil berhubung kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian yang tular sejak semalam, seorang penduduk taman perumahan memaklumkan jirannya hampir dipukau selepas menyedari lelaki tua bertongkat masuk ke kawasan kediamannya.

Sebelum kehadiran lelaki itu, jirannya menyedari sebuah Proton Iswara berwarna merah berlegar di kawasan itu pada jam 5.20 pagi.

Apa yang menjadi misteri ialah pagar rumah itu dikunci automatik dan timbul persoalan bagaimana lelaki terbabit boleh masuk ke perkarangan kediaman tanpa ada kesan kopak pada pagar.

Justeru penduduk meluahkan kebimbangan dan memaklumkan kejadian kepada polis.

Penduduk turut mendakwa kawasan kediaman mereka kerap terputus bekalan elektrik serta alat penggera tiba-tiba berbunyi pada jam 4 atau 5 pagi hampir setiap hari. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *