Kenduri Tahlil, Sambutan Aidiladha Cetus Kluster Baharu Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, kluster baharu yang direkodkan di Sabah, hari ini, iaitu Kluster Lahat-Lahat di Pulau Sebatik, Tawau, dicetuskan daripada satu kenduri tahlil pada 19 Julai lalu.

Katanya, kes indeks adalah seorang lelaki berusia 31 tahun, pembantu kedai makan di Selangor yang pulang ke Tawau pada 13 Julai.

Beliau berkata, lelaki terbabit yang dikuarantin di rumahnya di kampung itu disahkan positif pada sampel hari ke-10 kemasukan dari luar negeri Sabah menerusi saringan pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Tawau.

“Setakat hari ini, 50 kontak telah disaring dan 20 kes positif dikesan termasuk satu kes baharu. Sementara itu, dua kontak didapati negatif manakala 28 lagi masih menunggu keputusan sampel kedua.

“Aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan kerana kehadiran tetamu tidak direkodkan, malah jiran yang disaring mempunyai gejala dan berkait dengan kenduri tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Masidi berkata, dua lagi kluster baharu yang direkodkan di Sabah, hari ini, juga dikesan di Tawau iaitu Kluster Batu Keramat dan Kluster Unipark.

Katanya, Kluster Batu Keramat dikategorikan sebagai kluster komuniti yang menular ekoran sambutan Aidiladha dengan kes indeks membabitkan lelaki warga emas berusia 77 tahun yang disahkan positif Covid-19 hasil saringan bergejala di Hospital Tawau pada 24 Julai.

“Saringan kontak rapat kemudiannya mengesan lima lagi kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan kes hasil saringan pengiring yang disahkan positif pada 26 Julai di Hospital Tawau mempunyai kaitan epidemiologi (epid link) dengan kes indeks.

“Siasatan awal mendapati kes indeks dan keluarga telah berkumpul di Kampung Tanjung Batu Keramat pada 20 Julai bagi menyambut perayaan Aidiladha. Aktiviti pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

“Setakat hari ini, seramai 25 kontak telah disaring dan 18 daripadanya didapati positif termasuk 10 kes baharu, manakala dua sampel lagi negatif dan lima sampel masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, Kluster Unipark pula mula dikesan menerusi saringan bergejala terhadap seorang wanita berusia 39 tahun di sebuah hospital swasta pada 19 Julai.

Katanya, kes indeks yang juga pengurus cawangan syarikat Globinaco di Taman Unipark disahkan positif Covid-19 dengan keputusan RTK-Ag grading 100%.

“Saringan yang dijalankan ke atas 54 kontak mengesan 18 kes positif termasuk satu kes baharu hari ini manakala lima kontak didapati negatif dan 31 lagi masih menunggu keputusan sampel kedua,” katanya.

Terdahulu, Masidi berkata Sabah mencatat 776 lagi kes baharu, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 82,620 kes.

Katanya, lapan kes kematian turut dilaporkan pada hari ini iaitu empat kes di Kota Kinabalu manakala Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Beaufort masing-masing mencatatkan satu kes.

“Sementara itu, jumlah pesakit discaj dari hospital adalah seramai 641 orang menjadikan jumlah kumulatif 75,905 orang.

“Seramai 3,795 pesakit masih menerima rawatan, iaitu 761 orang di hospital, 2,975 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 59 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

“Bilangan pesakit dalam ICU (unit rawatan rapi) pula ialah seramai 89 orang dan 26 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *