3,690 Pemandu E-Panggilan Di Sabah Layak Terima Bantuan ‘One-Off’ RM500

Mereka yang tidak layak boleh membuat rayuan kepada LPKP Sabah, kata Pengerusinya Chin Kim Hiung.

KOTA KINABALU: Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Chin Kim Hiung berkata, seramai 3,690 pemandu e-panggilan di Sabah layak menerima bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) Fasa 1.

Katanya, LPKP Sabah telah menerima senarai nama bagi 4,627 pemandu e-panggilan di seluruh negeri namun 787 daripadanya telah ditolak permohonannya.

“LPKP Sabah telah menerima senarai nama bagi 4,627 pemandu daripada syarikat pengendali e-panggilan (EHO) untuk saringan penerima bantuan PEMERKASA Plus, iaitu 4,461 pemandu GRAB, 54 pemandu Maxim dan 112 pemandu MyCar.

“Jumlah pemandu e-panggilan yang layak bantuan selepas saringan oleh LPKP Sabah adalah 3,690 pemandu GRAB, 44 pemandu Maxim dan 106 pemandu MyCar.

“Jumlah selebihnya telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan iaitu pemandu perlu mencapai sasaran pendapatan sekurang-kurangnya RM500 sebulan dalam mana-mana tempoh dari Januari hingga Mei 2021 dan pemandu perlu mempunyai lesen EVP (e-vehicle permit) serta lesen PSV (public service vehicle) yang masih aktif pada atau selepas 31 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Chin berkata, semakan bagi senarai pemandu e-panggilan yang layak menerima bantuan PEMERKASA Plus boleh dibuat menerusi pautan http://www.lpkpsabah.gov.my/pemerkasa.

Katanya, bagi mereka yang tidak layak, rayuan boleh dihantar kepada LPKP Sabah menerusi emel [email protected] berserta dokumen sokongan yang berkaitan sebelum 9 Ogos 2021.

“Pembayaran bantuan bagi pemandu e-panggilan akan dibuat selepas tempoh rayuan ditutup,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Chin berkata, bantuan ‘one-off’ kepada 2,588 pemandu pengangkutan awam di Sabah akan mula disalurkan hari ini, membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.29 juta.

Katanya, pecahan jumlah penerima bantuan itu merangkumi 1,818 pemandu teksi dan kereta sewa, diikuti 391 pemandu bas pelancong dan seterusnya 379 pemandu bas sekolah.

“Penerima bantuan ini penerima sedia ada yang telah menerima bantuan PERMAI dan Geran Khas Prihatin (GKP) yang akan menerimanya secara automatik menerusi akaun bank masing-masing,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *