Warga Emas Bawa Lebih 20KG Daun Ketum Diberkas Di Jalan Beaufort-Membakut

Warga emas terbabit ditahan dan dibawa ke IPD Beaufort bersama barang rampasan untuk tindakan selanjutnya.

BEAUFORT: Seorang lelaki warga emas diberkas selepas didapati membawa 24.8 kilogram daun ketum di Kilometer 8, Jalan Beaufort-Membakut, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, warga emas berusia 66 tahun yang memandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger ditahan kerana didapati memandu dalam keadaan mencurigakan.

Daun ketum seberat 24.8 kilogram ditemui dalam kereta yang dipandu suspek.

Ketua Polis Daerah Beaufort Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek ditahan dalam operasi ‘Op Cegah Kemalangan’ dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Katanya, ketika pemeriksaan, pasukan polis menemui dua guni besar di bahagian tempat duduk belakang kereta suspek.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua guni berkenaan mengandungi daun disyaki ketum, iaitu antara bahan terlarang.

“Pemeriksaan fizikal dijalankan terhadap suspek tidak menemui sebarang kesalahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff berkata, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke IPD Beaufort bersama barang rampasan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif dan suspek diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bagi siasatan lanjut.

Daun ketum seberat 24.8 kilogram ditemui dalam kereta yang dipandu suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *