Semua Guru Akan Divaksin Sebelum Sekolah Dibuka – KJ

Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini 73.5% guru sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan semua warga pendidik akan diberi suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan secara bersemuka bermula September ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, beliau bersama Menteri Pendidikan, Radzi Jidin akan bekerjasama bagi memastikan ia dicapai.

“Saya bersama Menteri Pendidikan memberi jaminan bahawa semua warga pendidik akan diberi vaksinasi sebelum sekolah dibuka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab desakan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta jaminan kerajaan bahawa semua guru divaksin sebelum sekolah dibuka.

Khairy bagaimanapun mengakui, terdapat segelintir guru yang menolak untuk divaksin dan pihaknya meminta supaya pentadbir sekolah menyelesaikan isu terbabit supaya tidak tercetus jangkitan selepas sekolah dibuka.

Beliau berkata, sehingga 27 Julai seramai 303,682 guru atau 73.5% sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Seramai 45,197 atau 67% anggota kumpulan pelaksana dan 33,633 pekerja perkhidmatan sokongan kontrak atau 38% juga sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Bagi vaksinasi guru kelas peperiksaan Tingkatan 5 dan 6, status kemajuan adalah menggalakkan apabila 80,717 atau 90% telah diberi vaksin, sementara sektor swasta, 66.8% guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” katanya.

Khairy berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan KPM dalam memastikan guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan diberikan temu janji segera. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *