9 Menara Komunikasi Baharu Tingkat Capaian Internet Di Sabah

KOTA KINABALU, 28 Julai : Sembilan menara komunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang beroperasi sejak 15 Jun lepas memberi manfaat kepada 6,520 penduduk di beberapa kampung di Kudat dan Pitas, daerah terletak di utara Sabah, bagi menikmati perkhidmatan jalur lebar lebih pantas dan berkualiti.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), lapan daripada menara itu terletak di Kudat membabitkan Kampung Kubatang, Kampung Lodung, Kampung Indarason Laut, Kampung Rondomon, Kampung Membatu, Kampung Inukiran, Kampung Panikuan dan Kampung Toporoi manakala satu menara dibina di Kampung Kabatasan, Pitas.

“Pembinaan menara berkenaan yang dilaksanakan di bawah Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat itu akan memberi manfaat kepada penduduk setempat sekali gus mentransformasikan kehidupan mereka dalam mengharungi era digital semakin pesat,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, MCMC turut memaklumkan kerja-kerja pembinaan 13 lagi menara komunikasi baharu di Kudat sedang giat dilaksanakan oleh pihak penyedia perkhidmatan dilantik dan dijangka siap secara berperingkat menjelang Disember ini.

Menurut MCMC, penambahan menara-menara komunikasi di Kudat itu akan memudahkan penduduk setempat melaksanakan pelbagai urusan harian seperti pembelajaran dalam talian, bekerja dari rumah dan urusan perhubungan.

Selain itu, kesalinghubungan Internet lebih baik juga akan membantu memperbaiki sosioekonomi penduduk di kawasan berkenaan melalui pelbagai aktiviti ekonomi yang boleh dilakukan secara dalam talian dengan lebih lancar, menurut agensi tersebut. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *