33 Individu Dikompaun, Pusat Hiburan Diserbu Di KK Waterfront

Serbuan yang dilakukan di sebuah pub di Waterfront di Kota Kinabalu semalam. – Foto Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Seramai 28 pengunjung pusat hiburan yang dikesan tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dikenakan kompaun, dalam operasi di sebuah pusat hiburan di KK Waterfront, Jalan Tun Fuad Stephen, di sini, semalam.

Operasi jam 9 malam itu turut mengenakan kompaun kepada seorang pengurus dan empat pekerja pusat hiburan berkenaan.

Operasi bersepadu itu dijalankan hasil kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika serbuan dijalankan, premis berkenaan didapati  memainkan muzik dengan kuat selain para pelanggan berhibur sambil minum minuman beralkohol.

Katanya, anggota dan pegawai operasi kemudiannya mengeluarkan kompaun kepada semua 33 individu selepas didapati ingkar dan melanggar SOP yang ditetapkan.

“Pasukan serbuan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti pusat hiburan yang dilarang ketika ini dengan keadaan pelanggan yang tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pemilik dan pekerja premis serta semua pelanggan berusia lingkungan 19 hingga 41 tahun itu melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati premis berkenaan melanggar syarat berniaga dengan menjalankan pusat hiburan dengan menggunakan lesen restoran kelas dua.

Katanya, pemantauan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sepanjang pelaksanaan dan penguatkuasaan PKP di negara ini. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *