Kabinet Tiada Kuasa Batalkan Ordinan Darurat

Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mempunyai peranan sebagai penjaga kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Gambar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penamatan Proklamasi Darurat dan pembatalan enam Ordinan Darurat mengundang beberapa persoalan berkaitan kemampuan kerajaan menangani pandemik COVID-19, tanpa peruntukan undang-undang yang memberi kuasa segera dan drastik.

Turut berbangkit ialah isu berkenaan kaedah pembatalan Ordinan Darurat kerana Jemaah Menteri dikatakan tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata pembatalan semua Ordinan Darurat itu menyebabkan kerajaan hanya boleh menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada dan pastinya ini memberi cabaran kerana situasi semasa semakin kritikal dengan jangkitan harian pernah mencecah 17,000 kes.

Beliau berkata, kenam-enam Ordinan Darurat itu amat penting kerana memberi kuasa yang segera dan drastik kepada kerajaan, misalnya dalam urusan mengambil alih bangunan untuk tujuan rawatan COVID-19 dan arahan kepada hospital swasta untuk membantu.

“Apabila tamatnya ordinan-ordinan ini, kembalilah kita kepada keadaan sebelum darurat. Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan digunakan dengan kadar kompaun kembali kepada jumlah maksimum RM1,000 untuk perlanggaran prosedur operasi standard (SOP).

“Walaupun Akta 342 ini masih memberi kuasa kepada kerajaan untuk ambil alih bangunan atau hospital tetapi dari segi ganti rugi, boleh dibawa ke mahkamah sekiranya tidak dipersetujui.

“Prosesnya mungkin mengambil masa yang lama dan boleh memberi kesan kepada usaha kerajaan. Cuma saya dapati isu ganti rugi ini tidak banyak berbangkit. malah hospital swasta juga dengan rela hati membantu,” katanya kepada BH, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini mengumumkan kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada Ahad ini.

Katanya, berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat turut dibatalkan kerana kerajaan menarik balik ordinan berkenaan pada 21 Julai lalu.

Sementara itu, Nik Ahmad Kamal, berkata pada peringkat awal pandemik tahun lalu, kerajaan hanya menggunakan akta sedia ada dan itu didapati berjaya mengurangkan kes jangkitan, walaupun ada kritikan yang mengatakan Malaysia tidak membuat saringan secara besar-besaran.

Katanya, apabila kes mula meningkat pada 2021, kerajaaan menguatkuasakan Proklamasi Darurat dan walaupun dengan kuasa yang besar melalui ordinan-ordinan darurat, secara objektifnya itu tidak memberikan kesan yang besar kepada pandemik COVID-19.

Sementara itu, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS), Universiti Malaysia Pahang, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata Jemaah Menteri tiada kuasa untuk membatalkan Ordinan Darurat kerana penggubalannya kuasa prerogatif Seri Paduka.

Katanya, Agong juga mempunyai prerogatif untuk membatalkannya selepas ordinan itu dibentang di hadapan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Prosedur yang betul di bawah Perkara 150(3) perlu dipatuhi. Justeru, ordinan itu masih sah sehinggalah dibatalkan mengikut kaedah-kaedahnya atau luput berdasarkan Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan.

“Agenda pembentangan ordinan boleh dimasukkan semula atas ketetapan Perdana Menteri. Jika Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan mana-mana ordinan darurat, usul boleh dikemuka berlandaskan kaedah-kaedahnya yang dinyatakan di atas dan Peraturan Mesyuarat Parlimen,” katanya.

Wan Ahmad Fauzi berkata, suatu usul juga boleh dibuat untuk membahaskan Proklamasi Darurat dan ordinan darurat.

“Perlembagaan Persekutuan menetapkan amalan tadbir urus baik dan semua pihak perlu menghormatinya. Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mempunyai peranan sebagai penjaga kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *