Langgar SOP, 50 Pelanggan Pusat Hiburan Dikenakan Kompaun

Anggota polis membuat pemeriksaan di sebuah pusat hiburan yang melanggar SOP.

KOTA KINABALU: Polis daerah ini mengeluarkan keseluruhan kompaun sebanyak RM250,000 terhadap 50 pelanggan sebuah pusat hiburan, di ‘The Waterfront’, Jalan Tun Fuad Stephen, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 9.30 malam itu, semua pelanggan membabitkan 25 lelaki dan 25 wanita itu dikenakan kompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Selain itu, pengurus pusat hiburan terbabit turut dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 dan ditahan bersama tiga pekerja warga China bagi membantu siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi dijalankan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Katanya, semasa pemantauan dijalankan di premis berkenaan, pihaknya mendapati muzik sedang dimainkan dengan kuat dan pelanggan- pelanggan juga sedang berhibur sambil minum minuman beralkhol.

“Bagaimanapun, semua 50 pelanggan premis berkenaan didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak mendaftar di MySejahtera atau pada buku disediakan.

“Pelanggan dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang membabitkan 25 lelaki dan 25 wanita kerana ingkar dan melanggar SOP ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Zaidi berkata, semua pelanggan didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Katanya, hasil pemeriksaan lesen juga mendapati premis berkenaan menggunakan lesen Restoran Kelas Dua yang mana melanggar syarat perniagaan dengan menjalankan aktiviti pusat hiburan. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *