Lelaki Ditemui Lemas Selepas Cuba Selamatkan Enjin Bot

Mayat mangsa ditemui terdampar oleh orang awam di pantai Sungai Benoni, kira-kira pukul 6.20 pagi tadi. – Foto Bomba

PAPAR: Seorang lelaki ditemui mati lemas selepas terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan enjin sangkutnya ketika keluar memancing bersama rakan, dalam kejadian di kawasan bagang, perairan Papar semalam.

Mayat mangsa, Muhamad Hasyidan Haris, 27, ditemui terdampar oleh orang awam di pantai Sungai Benoni, kira-kira pukul 6.20 pagi tadi.

Difahamkan, sebelum kejadian, enjin terbabit terjatuh ke dalam laut menyebabkan mangsa cuba menyelamatkannya.

Bagaimanapun, dia dipercayai dihanyutkan arus deras kerana tidak muncul di permukaan air selepas itu menyebabkan dua rakan terus menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata, sepasukan anggota dan pegawainya dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.29 petang.

“Setibanya di lokasi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilakukan apabila anggota bertugas menurunkan bot bagi mencari mangsa.

“Namun, operasi yang dilakukan lebih sejam gagal menemui mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Johainin berkata operasi terpaksa ditangguhkan pada 7 malam berikutan faktor cuaca dan keadaan air yang bergelora.

“Mayat mangsa kemudiannya ditemui terdampar di pantai Sungai Benoni iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa menyelam,” katanya.

Katanya, mayat sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *