Kluster Pusat Rawatan Di Sandakan Turut Jangkiti Petugas Kesihatan

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Jangkitan Covid-19 dalam wad di sebuah hospital kerajaan di Sandakan menjadi punca kepada kewujudan klster Jalan Utara Dua, Sandakan semalam.

Kluster baharu ini dikategorikan sebagai kluster pusat rawatan itu merekodkan 13 kes positif termasuk 11 kes baharu semalam. Penularan kluster itu turut membabitkan dua petugas kesihatan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kes indeks membabitkan lelaki berusia 74 tahun yang dikesan positif Covid-19 melalui ujian saringan Genexpert PCR selepas pemeriksaan oleh pakar perubatan ke atas x-ray dada.

Saringan seterusnya mendapati 11 kes positif masing-masing melibatkan dua petugas kesihatan dan sembilan pesakit lain manakala, satu kes membabitkan penjaga tahanan dan satu kes kontak serumah.

“Bagaimanapun, ujian saringan Genexpert PCR terhadap 28 pesakit di wad berkenaan didapati negatif, sementara 18 petugas kesihatan yang menjalani ujian saringan PCR masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kluster Jalan Utara Dua itu antara empat kluster baharu dilaporkan di Sabah semalam. Tiga kluster lain adalah Kg Mananam, Tongod, Jalan Stesen TV, Tawau dan Bukit Mas, Kinabatangan.

Semalam Sabah mencatatkan 516 kes baharu Covid-19 dengan satu kes kematian serta empat kluster baharu.

Sehingga kini, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah adalah 77,940 kes dan kumulatif kes sembuh pula sebanyak 72,694 orang.

Seramai 3,738 pesakit sedang menerima rawatan termasuk 70 pesakit yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala, 19 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *