50% Penduduk Di Sabah Terima Vaksin Menjelang Oktober – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyasarkan 50 peratus penduduk di Sabah menerima suntikan vaksin sehingga Oktober ini, dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan untuk menghantar bekalan vaksin dalam jumlah lebih banyak, walaupun pihaknya mempunyai cadangan membeli vaksin COVID-19.

“Kita mempunyai cadangan sedemikian (membeli vaksin) tetapi kita juga berharap kerajaan Persekutuan dapat membekalkan vaksin ke Sabah dalam jumlah lebih banyak.

“Sekarang ini, Sabah adalah antara negeri terendah yang menerima bekalan vaksin daripada kerajaan Persekutuan tetapi kita juga difahamkan mereka akan mula menghantar bekalan vaksin seterusnya bermula minggu ini.

“Kita mahu mencapai sekurang-kurangnya 50 hingga 60 peratus penduduk Sabah menerima vaksin menjelang Oktober ini, kerana terdapat sekitar 2.7 juta rakyat negeri ini perlu diberikan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bertempat di Dewan Kuliah Pusat Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin.

Hajiji berkata, terdapat sedikit kelewatan penghantaran vaksin sebelum ini tetapi penghantaran bekalan vaksin sudah dijadualkan semula bermula minggu ini.

Selain itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada pengurusan UMS yang turut memainkan peranan membantu kerajaan negeri dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah.

“Kita difahamkan PPV di UMS boleh memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada 1,000 orang sehari dan mulai minggu hadapan, mereka boleh memberi vaksin untuk 3,000 orang sehari. UMS juga akan membantu kerajaan untuk memberi vaksin ke kawasan kampung. Ini adalah sesuatu yang cukup baik,” katanya.

Sementara itu, Taufiq berkata, setakat ini seramai 13,729 orang sudah divaksin di PPV UMS sejak hari pertama pembukaannya pada 14 Jun lalu.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, seramai 6,476 orang awam, 4,552 pelajar dan 2,701 kakitangan universiti itu sudah menerima vaksin di PPV UMS setakat semalam. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *