10 PATI Ditahan Cuba Keluar Dari Sabah Guna Lorong Tikus

Kesemua PTI terbabit dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.

TAWAU: Hasrat 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyelinap keluar untuk pulang ke Indonesia tidak berjaya selepas tindakan mereka dikesan pasukan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), hari ini.

Dalam operasi jam 12.10 tengah malam itu, semua PATI terbabit ditahan melalui kawasan Sekolah Kebangsaan Titingan, Batu 2, di sini.

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, hasil pemeriksaan, semua 10 warga Indonesia terbabit yang tidak memiliki dokumen dipercayai sedang menyorok di kawasan sekolah berkenaan.

Katanya, mereka terdiri daripada dua lelaki, enam wanita dan dua kanak-kanak berusia lingkungan 9 hingga 54 tahun serta bayi berusia enam bulan.

“Siasatan awal mendapati, semua warga Indonesia itu mengaku bergerak dari Taman Tawau Lama menuju ke Pulau Sebatik menggunakan laluan berhampiran sekolah berkenaan.

“Mereka memberitahu akan menaiki bot yang sudah diaturkan oleh ejen untuk pulang ke Indonesia,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Karim berkata, semua PATI itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua PATI kemudiannya diserahkan kepada IPD Tawau bagi proses saringan COVID-19 dan penahanan.

Sehubungan itu, Abdul Karim berkata, operasi berkenaan akan diteruskan bagi memastikan sempadan negara selamat dalam usaha menyekat jenayah serta melandaikan penularan wabak COVID-19.

Katanya, ATB akan terus mengetatkan lagi kawalan sempadan melalui pelaksanaan Op PASIR dan Op BENTENG BERSAMA bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan ancaman lain di kawasan Pantai Timur Sabah.

“Bagaimanapun, anggota dan pegawai dinasihati supaya sentiasa meningkatkan tahap waspada sepanjang masa dalam menjalankan tugasan masing-masing,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *