Lelaki Patah Tangan Selepas Terjun Dari Tingkat 3 Bangunan Kediaman Guru

Suspek parah selepas terjun dari tingkat tiga bangunan berkenaan. Foto PDRM

LABUAN: Seorang lelaki patah tangan kiri, cedera di bahagian kiri pinggang dan kepala selepas terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 1, di sini, semalam, ketika mahu melarikan diri daripada ditahan.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, suspek berusia 33 tahun dipercayai menceroboh masuk ke bangunan sekolah berkenaan sebelum disedari orang awam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, siasatan mendapati, pengadu seorang penjawat awam bersama dua rakannya ke bangunan berkenaan untuk membuat pemeriksaan selepas menerima maklumat orang awam.

Katanya, ketika berada di tingkat tiga bangunan itu, pengadu mendapati sesuatu yang mencurigakan di sebalik tandas yang tertutup sebelum bertindak menolak pintu.

“Suspek yang dipercayai sedang bersembunyi dalam tandas terkejut lalu memanjat tingkap tandas dan keluar ke beranda luar.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga bangunan berkenaan bagaimanapun dia gagal apabila mengalami kecederaan akibat perbuatannya itu,” katanya dalam kenyataan media, petang tadi.

Ahmad berkata, sepasukan polis yang tiba di lokasi sebaik menerima maklumat berkenaan kejadian itu menemui beg serta alat berupa ‘kuku kambing’.

“Suspek yang cedera di kepala, patah tangan kiri dan luka di bahagian kiri pinggang kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Keadaan suspek stabil dan semakan mendapati dia tidak mempunyai pekerjaan dan memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *