Kes Menurun Di Sabah, Tapi Angka Masih Tinggi – Masidi

Masidi Manjun berkata, strategi membendung jangkitan di Sabah adalah dengan menangani punca jangkitan dan mengasingkan pesakit. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Selepas merekodkan lebih 600 kes dalam tempoh empat hari lalu, jumlah jangkitan baharu di Sabah hari ini menurun kepada 474, namun masih tinggi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun berkata, kebanyakan jangkitan berlaku di ibu negeri membabitkan 128 kes dengan kebanyakannya berpunca daripada pengesanan kontak rapat.

Berbanding hari sebelumnya dengan jumlah kes didominasi jangkitan di penjara di sini dan di Tawau, beliau berkata, hanya lapan kes dikesan berlaku dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara dengan semuanya dikesan di penjara di Tawau.

Bagaimanapun, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, memberi peringatan jumlah kes boleh melambung semula bagi tempoh beberapa hari akan datang selepas mengambil kira ujian pengesanan besar-besaran dilaksanakan pihak berkuasa kesihatan.

“Strategi kita adalah mengatasi masalah di akar dengan pergi ke punca jangkitan, mengasingkan pesakit menerusi perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan melakukan ujian pengesanan termasuk membabitkan semua kontak pesakit.

“Untuk jangka pendek, jumlah jangkitan mungkin menunjukkan peningkatan namun kita mahu tangani punca jangkitan. Kita cuba mengehadkan kawasan yang terkena jangkitan,” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, Masidi berkata, dua kluster baharu dikesan di negeri ini, iaitu kluster Sawit Lung di daerah Beluran dan kluster Industri KKIP Selatan, di ibu negeri.

Sejumlah 11 kes dikesan menerusi kluster Sawit Lung, manakala enam kes kluster Industri KKIP Selatan.

Bagaimanapun katanya, lebih 90% pesakit hari ini merekodkan simptom ringan atau tiada simptom.

“Daripada jumlah itu, 90.5% merangkumi pesakit kategori satu dan dua, dengan 184 pesakit membabitkan kategori satu (tiada simptom) dan 245 pesakit kategori dua (simptom ringan).

“Pesakit dalam dua kategori berkenaan tidak memerlukan rawatan di hospital, namun ditempatkan di pusat rawatan berisiko rendah,” katanya. -FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *