Hanya Segelintir Petugas Kesihatan Dijangkiti Selepas Lengkap 2 Dos – KP Kesihatan

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR : Hanya segelintir petugas kesihatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin telah dijangkiti virus COVID-19 kategori tiga dan empat sementara tiada yang dijangkiti kategori lima, menurut data KKM dari 24 Feb hingga 14 Julai tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di Twitternya malam ini berkata data terkini diperoleh daripada ujian berkala menunjukkan 3,106 (1.26 peratus) daripada keseluruhan 245,932 petugas kesihatan dijangkiti virus itu selepas melengkapkan suntikan vaksin, dengan masing-masing tiga (0.1 peratus) dalam kategori tiga dan empat (0.1 peratus) di kategori empat.

“Pernah suatu ketika, ramai tidak gembira dengan ciapan saya apabila saya menyentuh mengenai bilangan petugas kesihatan telah dijangkiti selepas lengkap dua dos vaksin. Ya, kamu masih boleh dijangkiti selepas lengkap dua dos vaksin tetapi tidak serius, kurang kemasukan ke hospital dan kematian.

“Percayalah vaksin, percaya data. Vaksin menyelamatkan nyawa dan selepas divaksinasi sepenuhnya kita boleh berdampingan dengan COVID-19,” katanya.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan Dr Noor Hisham, sebanyak 1,012 petugas kesihatan dirawat di bawah kategori satu yang mana tidak mengalami sebarang simptom; 2,088 (kategori dua-gejala ringan); tiga (kategori tiga-radang paru-paru); tiga (kategori empat – perlu oksigen) dan sifar dalam kategori lima (rawatan di unit rawatan rapi – ICU). – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *