Majlis Pengebumian Cetus Kluster Baharu Di Sabah

KOTA KINABALU: Satu lagi kluster berkaitan majlis pengebumian dilaporkan di Sabah semalam dipercayai tercetus berikutan kehadiran seorang individu yang menunjukkan gejala demam.

Kluster Limbawang di Beaufort itu sehingga kini dikesan menjangkiti 30 individu yang terdiri daripada kontak sosial dalam kalangan ahli keluarga kes indeks dan tetamu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster itu dikaitkan dengan majlis pengebumian di Kampung Gelilia, Padas Damit, Beaufort pada 20 Jun lalu.

Katanya, kes indeks iaitu lelaki berumur 35 tahun dari Kampung Kelabu, Beaufort disahkan positif Covid-19 melalui saringan di Klinik Kesihatan Padas Damit pada 21 Jun selepas menunjukkan gejala demam sejak 19 Jun lalu.

“Saringan kontak rapat masing-masing mendapati empat lagi kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan tetamu majlis terbabit.

“Terdapat bukti penularan menerusi kontak sosial yang membabitkan ahli keluarga di empat lokaliti berbeza di sekitar mukim Limbawang.

“Daripada 160 kontak yang disaring, 21 individu dikesan positif termasuk dua kes baharu pada hari ini (semalam) menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 30 kes,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, Kluster Tembok Kota Kinabalu terus menjadi penyumbang tertinggi kes baharu Covid-19 di Kota Kinabalu, semalam.

Katanya, daripada 99 kes yang dilaporkan di Kota Kinabalu semalam, sebanyak 51 kes adalah berpunca daripada Kluster Tembok Kota Kinabalu yang membabitkan jangkitan dalam kalangan banduan di Penjara Kepayan.

Selain itu, katanya sebanyak 15 lagi kes disumbangkan melalui tiga lagi kluster aktif sedia ada iaitu masing-masing lima kes daripada Kluster Ocean Blue, Kluster Coral dan Kluster Tanjung Aru Baru.

“Baki sebanyak 33 lagi kes di Kota Kinabalu dikesan melalui saringan lain. Ia menjadikan daerah Kota Kinabalu mencatat kes paling tinggi di Sabah hari ini (semalam), disusuli Tawau, Kota Belud dan Kunak yang masing-masing mencatat 20 kes baharu,” katanya.

Secara keseluruhan, Sabah mencatat 242 kes baharu positif Covid-19 semalam dengan tiga kematian, iaitu masing-masing dua di Kota Belud dan satu di Tawau, manakala seramai 187 pesakit dilaporkan sembuh. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *