Terumbu Karang Pulau Mabul Yang Rosak Dilanggar Tongkang Akan Dipulihkan

Foto Ihsan Penyelam / BERNAMA

SEMPORNA, 26 Jun : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, akan memastikan terumbu karang di perairan Pulau Mabul dekat sini, yang rosak akibat dilanggar ‘barge’ atau tongkang membawa muatan bahan binaan semalam, menjalani proses restorasi.

Menterinya Datuk Jafry Ariffin berkata, penyelam daripada Taman-Taman Sabah serta Jabatan Perikanan, sudah diarahkan melakukan penilaian awal kerosakan seterusnya merancang program restorasi, di kawasan terumbu karang yang rosak.

“Selain membuat penilaian tahap kerosakan, jika sesuai proses restorasi awalan juga akan dilaksanakan serta-merta, untuk posisikan semula terumbu karang yang rosak dan terbalik, agar boleh terus hidup, tongkang itu telah dialihkan daripada terumbu karang tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan terumbu karang di kawasan menyelam dikenali sebagai Paradise One di Pulau Mabul di sini, rosak akibat dilanggar  tongkang berkenaan.

Jafry berkata, pihaknya difahamkan tongkang itu membawa bahan binaan bagi projek pembinaan pangkalan operasi hadapan (FOB), di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

“Mengikut rekod di Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, projek berkenaan diberikan kelulusan Laporan Cadangan Langkah-Langkah Pengurangan (PMM Report) pada 8 Feb lalu, dan siasatan akan dijalankan sama ada terdapat pelanggaran dalam syarat kelulusan PMM yang dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, kawasan terbabit tidak dilindungi sama ada di bawah Taman-Taman Sabah atau Jabatan Hidupan Liar Sabah, menyukarkan tindakan penguatkuasaan undang-undang ke atas insiden tersebut.

“Jabatan Perikanan Sabah juga tidak mempunyai peruntukan undang-undang untuk menangani kerosakan terumbu karang di luar kawasan yang dilindungi, kerana tidak terkandung dalam Akta Perikanan 1985,” katanya.

Namun Jafry berkata isu kekurangan daripada segi bidang kuasa dan penguatkuasaan itu akan ditangani bagi memastikan Sabah mempunyai peruntukan undang-undang lebih ketat berkaitan perlindungan alam sekitar.

“Perkara ini serius, kerana merosakkan terumbu karang yang umumnya mengambil masa ratusan tahun untuk tumbuh dan jarang ditemui selain menjadi habitat pembiakan pelbagai hidupan marin,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana perairan Semporna menjadi salah satu tumpuan penyelam skuba antarabangsa mahupun domestik.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *