Pelayan Restoran Ditahan Tipu Peniaga ‘Bundle’

Polis berkata, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan di kawasan Inanam, Kota Kinabalu pada 10.15 pagi semalam, susulan laporan mangsa.

BEAUFORT: Kegiatan seorang lelaki memperdayakan mangsa dalam urusan jual beli baju bundle menerusi laman sosial, tidak berpanjangan apabila dia ditahan polis, semalam.

Suspek berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pelayan restoran ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, jam 10.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada April lalu apabkla suspek disyaki memperdayakan mangsa dalam urusan jual beli baju bundle melalui laman sosial Facebook yang tidak wujud.

Katanya, mangsa dikatakan membeli dua guni baju bundle dan membuat pembayaran  sebanyak RM3,100 ke dalam akaun bank milik suspek.

“Bagaimanapun selepas membuat pembayaran barangan berkenaan sehinggalah laporan polis dibuat pada 2 Jun lalu, barangan yang dijanjikan tidak sampai kepada mangsa.

“Polis yang melakukan siasatan berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan Inanam, Kota Kinabalu, semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Beaufort untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Yusoff Zaki menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam melakukan urus niaga atau pembelian barangan melalui laman sosial. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *