Rumah Terbakar, Bomba Pula Yang Diserang

Video kejadian lelaki yang menyerang anggota bomba dalam kejadian kebakaran di Kampung Belipat, Lawas berdurasi 56 saat tular di media sosial sejak semalam.

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak kesal apabila anggotanya diserang ketika melakukan tugas memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Belipat, Lawas, petang semalam.

Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman, berkata ia kejadian pertama serangan terhadap anggota bomba ketika sedang menjalankan tugas berlaku di Sarawak.

Khirudin berkata, anggota bomba terbabit bertindak profesional ketika menjalankan tugas memadam kebakaran itu.

“Beliau juga bertindak balas melalui saluran yang betul iaitu dengan membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 9.14 malam tadi.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi, atas budi bicara, anggota bomba terbabit menarik balik laporan polis yang dibuat selepas menerima permohonan maaf daripada pelaku yang menyesal dan menyedari kesalahan yang dilakukannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khirudin berkata, lelaki yang menyerang anggota bomba terbabit mendakwa gagal mengawal emosi selepas melihat rumah pusaka mereka musnah terbakar.

Dalam video berdurasi 56 saat yang tular sejak semalam, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas sedang memadam kebakaran sebuah rumah pada jam 3.18 petang.

Pada mulanya, seorang lelaki dilihat mengamuk dan menghempas barang sambil memarahi anggota bomba yang sedang menjalankan tugas.

Tidak lama selepas itu, seorang lagi lelaki tiba-tiba menyerang anggota bomba dari arah belakang menyebabkan anggota terbabit terjatuh.

Menurut Khirudin, dalam isu itu, JBPM menunjukkan sikap profesional ketika menjalankan tugas dan sentiasa bertoleransi serta bertimbang rasa dalam menangani sebarang isu atau masalah yang dihadapi.

“Perlu diingatkan bahawa merujuk kepada Akta Perkhidmatan Bomba 1988, Seksyen 51, adalah satu kesalahan bagi mereka yang bersengaja mencaci, menyerang, mengacau, menghalang, menghalang atau mengganggu Pegawai Bomba, Pegawai Bomba Bantuan atau Pegawai Bomba Sukarela yang bertindak dalam melaksanakan tugasnya atau mana-mana orang lain yang membantu JBPM di bawah arahan tertentu pegawai bomba,” katanya.

Beliau berkata, jika disabitkan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Justeru, JBPM berharap perkara seperti ini tidak lagi berulang pada masa akan datang dan masyarakat harus menyokong usaha JBPM dalam program pencegahan kebakaran dan juga aktiviti bomba komuniti.

“Program yang dilaksanakan JBPM sangat bermanfaat terutamanya di dalam mencegah insiden kebakaran dan tindakan awal yang boleh diambil sekirannya berlaku kebakaran,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *