Kedua-Dua Pihak Akan Disiasat – Pesuruhjaya Polis Sabah

Ketegagan ntara wanita dan anggota polis dalam rakaman yang tular di media sosial, sejak semalam.

KOTA KINABALU: “Kita akan siasat secara menyeluruh babitkan kedua-dua belah pihak sebelum tindakan selanjutnya diambil,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berhubung video tular seorang wanita menengking anggota polis di sebuah sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini.

Rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak semalam memaparkan insiden yang dipercayai berlaku pada 1 Jun lalu sehingga menerima pelbagai reaksi termasuk kecaman daripada warganet walaupun tidak diketahui punca sebenar kejadian.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Terdapat dakwaan wanita terbabit bertindak sedemikian kerana dikatakan terpaksa menunggu hampir 30 minit sebelum diberitahu kesalahannya selain timbul juga dakwaan kononnya wanita terbabit berang selepas disindir oleh anggota polis yang bertugas di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, punca wanita terbabit dikenakan saman adalah atas kesalahan cukai jalan dan insurans kenderaan tamat tempoh.

Dalam rakaman itu, beberapa anggota dan serta pegawai polis turut dilihat cuba menenangkan wanita berkenaan.

Menurut Hazani, pihaknya akan memanggil wanita terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, Timbalan Pendakwa Raya juga menasihatkan polis supaya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Kita akan menjalankan siasatan secara menyeluruh membabitkan kedua belah pihak sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Sekiranya terbukti benar ada anggota polis yang mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan wanita terbabit kita akan ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, begitu juga tindakan akan diambil sekiranya terbukti wanita itu yang menjadi punca ketegangan yang berlaku di SJR berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan polis tidak sepatutnya mengeluarkan saman disebabkan cukai jalan berkenaan tidak dapat diperbaharui ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Hazani berkata, cukai jalan kenderaan wanita berkenaan tamat sejak awal tahun ini.

Katanya, perkara itu tidak dapat diterima memandangkan penguatkuasaan PKP pernah dihentikan dua kali sebelum ini.

“Alasan itu tidak boleh diterima, sekalipun cukai jalan tidak boleh diperbaharui, mengapa insurans kenderaan tidak diperbaharui?,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *