Tiada Kejadian Ibu Jual 3 Anak Di Keningau – Polis Sabah

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak benar.

KOTA KINABALU: Polis Sabah menafikan berlaku kejadian seorang ibu didakwa cuba menjual tiga anak kandungnya berikutan desakan hidup, di Keningau, hari ini.

Pesuruhjaya polis negeri, Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak benar.

Katanya, penyebaran berita tidak benar itu hanya akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat yang mungkin mencetuskan perkara tidak diingini berlaku.

Terdahulu, Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar dalam kenyataan mendakwa tiga kanak-kanak yang cuba dijual oleh ibu kandung mereka berjaya diselamatkan pihak polis dan jabatan kebajikan.

Katanya, tiga beradik terbabit dijual oleh ibu mereka kerana kesempitan hidup selepas pendapatannya terputus akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Shahrudin Mat Husain berkata, sebaliknya kes itu berkaitan sepasang suami isteri yang ditahan kerana kesalahan dadah.

Katanya, lelaki terbabit ditahan pada 22 Mei lalu dan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15 (a) (1) akta yang sama.

”Pada 11 Jun lalu, wanita yang juga ibu kepada tiga kanak-kanak pula ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine.

”Semasa tangkapan dibuat, dua anak berusia lima tahun dan tujuh bulan yang berada bersama ibu mereka diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan dan kebajikan kanak-kanak terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Shahrudin berkata, seorang lagi anak berusia tujuh tahun turut diserahkan kepada JKM keesokan harinya.

Katanya, siasatan mendapati, sebelum ditahan wanita terbabit pernah memohon bantuan kewangan daripada orang awam bagi membayar wang ikat jamin mahkamah untuk suaminya.

”Tiada sebarang kesalahan berkaitan penjualan kanak-kanak oleh si ibu dan tiada sebarang isu pemerdagangan manusia atas desakan hidup di daerah Keningau.

”Polis memohon agar pihak yang terbabit supaya tidak mengeluarkan sebarang isu yang tidak benar tanpa merujuk kepada polis,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *