Raja-Raja Melayu Perlu Pilih PM Baharu – Ku Li

Menurut Ku Li, peranan memilih Perdana Menteri itu timbul selaras dengan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-Raja Melayu yang memilih baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu.

KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu perlu memilih seorang Perdana Menteri yang baharu untuk mengetuai kerajaan bagi menyelamatkan negara daripada krisis penularan COVID-19, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurut Ahli Parlimen Gua Musang itu, Raja-Raja Melayu bertanggungjawab memainkan peranan keperlembagaan itu selepas Dewan Rakyat berdepan kesukaran memilih Perdana Menteri.

Katanya yang lebih dikenali sebagai Ku Li, Dewan Rakyat tidak boleh menentukan Perdana Menteri walaupun ditauliahkan oleh Perlembagaan Persekutuan kerana pada masa ini ia tidak berfungsi secara menyeluruh.

“Sebahagian daripada wakil rakyat mempunyai kepentingan kewangan (sama ada secara terbuka atau pun secara senyap) dan hilang kelayakan mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Dewan Rakyat juga kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti untuk membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, ada ahli-ahli Parlimen yang tidak menepati peruntukan Perlembagaan berkaitan dengan pemilihan mereka.

Jelas Ku Li lagi, peranan memilih Perdana Menteri itu timbul selaras dengan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-Raja Melayu yang memilih baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu.

“Tanggungjawab ini memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi, parti politik mahu pun pertimbangan peribadi.

“Pemimpin yang dipilih harus mampu memahami keadaan semasa negara yang berhadapan krisis akibat covid-19 untuk memimpin sebuah kerajaan yang boleh mengatasi krisis itu,” katanya.

Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong itu antara lain menyebut tentang peranan institusi itu dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keamanan negara.

Sebelum ini, Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan membawa kepada Raja-Raja Melayu semua pandangan yang disuarakan oleh ketua-ketua parti politik kepada baginda sejak seminggu lalu. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *