Agong Zahirkan Pandangan Parlimen Perlu Bersidang Secepat Mungkin

Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara. – Foto ihsan Istana Negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata ini bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan semalam dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahasakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Katanya, pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.

“Baginda turut menzahirkan pandangan perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Fadil berkata, baginda menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, baginda turut menzahirkan harapan angka jangkitan wabak COVID-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi satu-satunya ‘exit strategy’ bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Baginda menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin,” katanya.

Dalam pada itu katanya, baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat yang bertungkus lumus mengorbankan masa serta penat lelah dalam usaha-usaha memerangi penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Baginda mengambil kesempatan ini menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Raja-Raja Melayu yang juga mencerminkan keprihatinan tinggi Raja-Raja Melayu terhadap kemaslahatan negara dan kelangsungan hidup rakyat.

“Baginda turut mengambil kesempatan ini mengajak rakyat bersama mendoakan rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah S.W.T, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

Sesi Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja itu dihadiri lapan Raja-Raja Melayu, berlangsung di Istana Negara, selesai kira-kira jam 7 malam tadi, selepas berlangsung hampir 4 jam.

Al-Sultan Abdullah berkenan mempengerusikan Perbincangan Khas itu, dihadiri Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Turut berangkat sama, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang memasuki Istana Negara sekitar jam 2.05 petang sempat melambai ke arah sekumpulan petugas media yang membuat liputan di pekarangan Istana Negara, sejak pagi tadi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula mula memasuki pekarangan pintu Istana Negara pada jam 2.35 petang tadi, diikuti, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, tidak hadir.

Ini adalah Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu kedua diadakan bagi membincangkan mengenai isu kesihatan dan politik negara, dengan pertama kali diadakan pada 25 Oktober tahun lalu.

Dalam pertemuan itu, Raja-Raja Melayu dijadual turut mendapat taklimat khas dari Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, yang akan mengetuai beberapa ketua agensi kerajaan.

Selain Mohd Zuki, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang;  Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menghadiri Perbincangan Khas itu.

Perbincangan Khas itu yang juga inisiatif Al-Sultan Abdullah bagi membincangkan usaha memerangi pandemik COVID-19 di negara ini termasuk pelaksanaannya ketika tempoh darurat yang sedang berjalan ketika ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *