Samakan Unduk Ngadau Dengan ‘Pertunjukan Lembu’, Peguam Bekas Pemimpin STAR Kena Hentam

Bekas penyelaras STAR kawasan Parlimen Putatan, Phillip Among didakwa di mahkamah, Khamis lalu.

KOTA KINABALU: Peguam mewakili bekas pemimpin STAR yang menghadapi lima pertuduhan mencabul kehormatan, baru-baru ini, mendapat kecaman hebat selepas nota penghujahan permohonan ikat jamin yang disediakannya tular di media sosial.

Dalam notanya yang tersebar luas itu, Marcell Jude, mewakili bekas penyelaras STAR kawasan Parlimen Putatan, Phillip Among, dipercayai memperlekehkan pertandingan Ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau yang diadakan setiap tahun sempena sambutan Pesta Kaamatan.

Nota berkenaan dipercayai digunakan Jude di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu untuk penghujahannya bagi memohon mengurangkan jumlah wang ikat jamin yang dikenakan ke atas Among.

Among berdepan lima pertuduhan mencabul kehormatan dua wanita, termasuk empat pertuduhan membabitkan seorang peserta Unduk Ngadau peringkat negeri.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada kesemua kenyataan dalam nota berkenaan ada disebut semasa prosiding mahkamah yang berlangsung pada Khamis lalu itu.

Beberapa kenyataan dalam nota berkenaan seperti menyamakan pertandingan Unduk Ngadau dengan ‘pertunjukan lembu’ juga tidak pernah dilaporkan oleh mana-mana media berhubung kes mahkamah terbabit.

Sementara itu, Setiausaha Agung STAR, Guan Dee Koh Hoi berkata, beliau bagi pihak parti kesal dengan usaha berterusan beberapa pihak yang mengaitkan parti itu dengan beberapa kes jenayah termasuk kes membabitkan Among serta Jude.

“Jelas sekali terdapat usaha untuk mensabotaj parti oleh kumpulan tertentu yang cemburu dengan kekuatan dan kedudukan STAR.

“Tetapi kami tahu kedua-dua kes itu tidak akan mencemarkan nama parti hanya kerana STAR ada kaitan dengan dua individu terbabit.

”Mengenai kedudukan dan masa depan Jude dalam STAR, saya sebagai setiausaha agung memberi jaminan bahawa jawatankuasa disiplin parti akan segera bermesyuarat untuk memutuskan tindakan apa yang harus diambil, sesuai dengan perlembagaan parti,” katanya.

Dalam pada itu, sekurang-kurang satu laporan polis telah dibuat terhadap Jude, baru-baru ini, termasuk oleh seorang wanita bernama Susan Tonggolou.

Beliau membuat laporan itu selepas ternampak nota penghujahan Jude yang dimuat naik di laman Facebook ‘Orang Putih Kita’. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *