Darurat Tidak Berkesan, Kes Covid-19 Makin Tinggi – Shafie Apdal

Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mempertikaikan keberkesanan Darurat dalam membendung penularan jangkitan Covid-19 di negeri ini.

Beliau berkata, darurat tidak diperlukan lagi kerana sudah terbukti pelaksanaannya tidak berkesan dalam mengawal pandemik Covid-19 di Sabah. Kini kes meningkat kepada lebih 600,000 positif.

Timbul persoalan apa perlunya darurat jika ia tidak berhasil untuk membendung penularan jangkitan. Pelaksanaan darurat hanya menghalang wakil rakyat bersuara di persidangan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sukar kita hendak bersuara di luar tapi dalam Parlimen kita bebas untuk bersuara lantang kerana ada imuniti untuk kita membangkitkan masalah rakyat dalam keadaan pandemik Covid-19.

“Atas sebab itu, saya menyatakan perlu untuk Parlimen bersidang secara bersemuka untuk membawa masalah-masalah rakyat dalam Parlimen. Jika pasaraya boleh dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, persidangan Parlimen juga seharusnya dibuka.

“Kita cuma ada 222 ahli Parlimen sahaja tapi tidak perlu semua bersidang dalam masa yang sama, orang yang membahas sahaja yang perlu berada di dalam. Selebihnya boleh ditempatkan di bilik lain. Kena ada cara lain untuk memastikan Parlimen terus bersidang dan bukannya langsung tiada,” katanya semasa siaran langsung Facebook Unity Movement semalam.

Ahli Parlimen Semporna ini turut mengkritik cara pengendalian vaksin yang dilihat begitu lambat berbanding negara-negara lain.

Katanya, kerajaan seharusnya mengagihkan tugas-tugas pemberian vaksin mengikut kementerian tertentu dengan memantau perkembangan pemberian vaksin dalam tempoh masa tertentu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang ini berkata, kordinasi perlu adan dalam menguruskan vaksin ini agar pelaksanaannya dilakukan lebih pantas bagi memastikan sasaran mencapai imuniti berkelompok itu mampu dicapai segera.

Beliau mencadangkan kerajaan memanfaatkan peranan setiap kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pertahanan untuk diberikan sejumlah dos tertentu bagi memastikan pegawai dan agensi dibawah mereka menerima vaksin dengan lebih pantas dan teratur.

Untuk rakyat di peringkat akar umbi pula, kerajaan seharusnya menggerakkan agensi pelaksana di peringkat daerah dan kampung untuk masuk ke setiap pelusuk kampung bagi memberikan vaksin kepada masyarakat yang tidak mempunyai akses kepada MySejahtera.

Sekiranya semasa pilihan raya, semua jentera boleh masuk segenap pelusuk kampung tapi kenapa bila tiba soal nyawa manusia, jentera-jentera kerajaan ini tidak boleh masuk untuk daftarkan dan memberikan vaksin kepada penerima berusia 18 tahun dan ke atas. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *