‘Tabik Hormat Pak Cik Untuk Anak Sekalian’ – Radzi Jidin

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin memberikan tanda tabik pada kepada semua calon SPM 2020 atas keupayaan mereka hadapi pelbagai cabaran sepanjang tempoh peperiksaan pada Sidang Media Khas SPM 2020 secara maya yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial yang, hari ini.

KUALA LUMPUR: “Apa saja keputusan yang anak (calon SPM) dapat pada hari ini, ingatlah anak adalah generasi yang hebat.

“Belum pernah ada mana-mana kohort Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melalui dugaan, cabaran dan rintangan seperti mana calon SPM 2020. Tabik hormat pak cik untuk anak sekalian.”

Demikian kata-kata semangat yang diluahkan oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin sebelum berakhirnya Sidang Media Khas SPM 2020 secara maya yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial yang bermula jam 9 pagi, hari ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada guru dan ibu bapa yang memberikan bantuan serta kerjasama kepada Kementerian Pendidikan (KPM) sepanjang perjalanan SPM 2020.

Katanya, walaupun terpaksa menutup sekolah dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), semua pihak memainkan peranan serta melakukan yang terbaik.

“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada guru yang terbabit dalam proses melaksanakan SPM 2020. Ia bukan proses mudah buat petugas peperiksaan, guru bertugas hari peperiksaan dan terbabit pemarkahan serta mengajar calon SPM.

“Kepada ibu bapa, pihak KPM juga mengucapkan terima kasih. Kami sedar tempoh ini adalah amat mencabar dan kami tahu kami tidak sempurna, tetapi kami cuba untuk laksanakan yang terbaik,” katanya.

Justeru, beliau menyeru supaya ibu bapa terus memberikan kerjasama dan kepercayaan kepada KPM dalam memberikan yang terbaik untuk pelajar.

Beliau berkata, sekiranya semua pihak bersatu pastinya akan dapat mengharungi situasi sukar pandemik COVID-19 dan menang bersama. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *