Semua Fasiliti Di Hospital Dibenar Operasi 24 Jam

Datuk Seri Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Semua fasiliti di hospital kerajaan dan swasta dibenarkan beroperasi 24 jam berkuat kuasa serta-merta semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam kenyataannya hari ini berkata, kebenaran itu membabitkan fasiliti kedai runcit, kedai serbaneka dan kantin (bawa pulang sahaja).

Katanya, kerajaan negeri membuat keputusan itu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah COVID-19.

Dalam pada itu katanya, tiga lokaliti termasuk dua di Kudat diarahkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 11 hingga 24 Jun 2021.

“Perumahan Kilang Ladang Ong Ya Hoo Kinabatangan dikenakan PKPD selepas didapati berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi. 

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 151 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 28 orang didapati positif COVID-19,” katanya di sini.

Beliau berkata, dua lokaliti di Kudat yang diarahkan menjalani PKPD adalah Kampung Singgahmata Banggi dan Kampung Sin San.

Menurutnya, KKM merekodkan lapan positif COVID-19 di Kampung Singgahmata Banggi, manakala di Kampung Sin San, daripada 22 ujian saringan yang dijalankan, sembilan kes dilaporkan positif. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *