Tangkap PATI Ketika Pandemik Akan Beri Kesan Buruk Di Sabah

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menangani lambakan PATI tetapi keputusan itu tidak tepat dalam keadaan Covid kini.

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan menyifatkan keputusan kerajaan untuk memburu dan menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika pandemik sebagai tidak tepat dan akan memburukkan lagi situasi semasa Covid-19.

Beliau berkata, untuk itu kerajaan negeri perlu membantah langkah dilaksanakan kerajaan pusat kerana ia akan menyukarkan Sabah mencapai imuniti kelompok.

“Saya mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menangani lambakan PATI tetapi dalam keadaan Covid ini, keputusan ini tidak tepat.

“Bila PATI bersembunyi mereka tidak akan mendapatkan vaksin. Ini akan menyebabkan usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok akan terbantut,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, keputusan yang dibuat kerajaan itu akan memudaratkan Sabah kerana jumlah PATI yang ada terlalu ramai.

Beliau berkata, tangkapan PATI dan pemberian vaksin ke atas PATI itu boleh dibenarkan, namun hanya selepas semua rakyat Malaysia divaksinkan.

“Selepas ditangkap mereka akan diberi vaksin semasa di tahanan.

“Kita tidak mahu masyarakat antarabangsa akan mendakwa Malaysia tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia bila kluster penjara dan tahanan PATI menjadi punca jangkitan Covid dalam sekala besar,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai pengalaman dalam menangani dan menangkap PATI dan ia memang sukar serta memakan masa.

“Dalam keadaan malapetaka Covid ini, kita tidak ada masa,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *