STAR Tidak Akan Lindungi Ahli Terbabit Salah Laku, Kata Jeffrey

Presiden STAR, Jeffrey Kitingan, berkata lembaga disiplin parti akan bersidang dalam masa terdekat untuk memutuskan status ahlinya yang terpalit kes cabul seorang peserta Ratu Kaamatan baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Presiden STAR, Jeffrey Kitingan menegaskan parti itu tidak akan melindungi ahlinya, jika ada antara mereka terbabit salah laku atau mencemarkan nama parti.

Katanya, ketegasan itu terbukti apabila parti berkenaan menggantung semua jawatan seorang ahlinya yang terpalit kes cabul membabitkan seorang peserta Ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau, baru-baru ini.

“Seorang ahli parti, baru-baru ini didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang wanita dan untuk menunjukkan kesungguhan kami menangani isu ini, ahli terbabit digantung daripada semua jawatan dalam parti.

“Lembaga disiplin parti juga akan bersidang dalam masa terdekat untuk memutuskan status keahliannya,” katanya dalam kenyataan.

Kitingan berkata, beliau sangat kesal dengan kejadian itu kerana ia mendatangkan kesusahan kepada ahli STAR seterusnya mendedahkan parti kepada serangan lawan dalam politik.

Katanya, individu yang didakwa itu bertindak mengikut kemahuannya sendiri dan tiada sebarang kaitan dengan parti STAR.

“Sebarang usaha untuk mengheret parti ke dalam perkara ini adalah tidak bertanggungjawab dan perlu dikecam.

“Saya menyeru semua ahli dan penyokong supaya berdiri teguh di belakang kepimpinan parti dan jangan jadi individu yang hanya tahu bersembunyi di sebalik nama parti,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyokong saranan Pengerusi Induk Ahli-ahli Jawatankuasa Unduk Ngadau, Joanna Kitingan, yang menyeru semua mangsa tampil dan membantu siasatan polis.

Baru-baru ini, satu laporan polis dibuat oleh seorang peserta Unduk Ngadau peringkat negeri yang mendakwa diraba di paha, belakang badan, leher, dan tangan ketika menaiki kenderaan milik seorang jawatankuasa penganjur.

Laporan polis bertarikh 21 Mei itu tular di media sosial termasuk di Facebook dan WhatsApp.

Dakwaan itu turut dikaitkan dengan salah seorang pemimpin sebuah parti tempatan di Sabah.

Pada 3 Jun lalu, Philip Among yang juga penyelaras STAR di Parlimen Putatan ditahan polis di pejabatnya dan direman hingga esok untuk siasatan lanjut. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *